Thursday, December 27, 2012

Tips Sebelum Menunaikan Umrah


  1. Jelaskan baki wang dan kos pelaksanaan Umrah anda yang masih tertangguh itu bagi membolehkan pihak agensi pengendalian Umrah ana itu membuat persediaan yang sewajarnya seperti pembelian tiket kapal terbang, menjelaskan cukai-cukai lapangan terbang danpembayaran bilik-bilik penginapan di Madinah dan Makkah, tempahan makanan sepanjang tempoh masa Umrah berkenaan dan seumpamanya.
  2. Sediakan peruntukan kewangan yang bakal digunakan sebagai perbelanjaan tambahan untuk makanan dan minuman ketika di tanah suci Madinah dan Makkah kelaka kerana barang-barang makanan seperti kebab, nasi Bukhari, ayam golek, aiskrim, jus buah-buahan dan seumpamanya amat lazat serta murah harganya berbanding dengan harga di tanah air.
  3. Sediakan juga peruntukan kewangan untuk membeli serba sedikit barang-barang atau ole-ole dari tanah suci Makkah dan madinah untuk dihadiahkan kepada saudara mara dan sahabat handai kerana barang-barang dari tanah suci tersebut dipercayai mempunyai roh untuk merangsang semangat dan iltizam mereka untuk turut sama datang berkunjung ke tanah suci berkenaan bagi menunaikan ibadah Haji atau Umrah.
  4. Kenal pasti dan buat perkiraan berkenaan hadiah-hadiah yang bakal dibeli di tanah suci kelak kerana ia dapat membantu merangka bajet serta peruntukan kewangan yang tepat seperti jubah, minyak atar, emas permata, barang-barang permainan, jam tangan, kurma, kismis, kacang-kacangan dan seumpamanya itu.
  5. Sediakan juga bajet dan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan dan keperluan harian serta pembiayaan persekolahan anak-anak yang bakal ditinggalkan sepanjang mengerjakan Umrah berkenanaan.
  6. Peruntukan ni penting bagi mententeramkan fikiran serta memantapkan perasaan sepanjang melaksanakan ibadah Umrah kelak kerana hati yang runsing serta konsentrasi yang tergugat akan menghakis kekhusyukan, kesyahduan serta kesenduan ibadah Umrah yang bakal dilaksanakan itu kelak.
  7. Langsaikan segala hutang piutang sama ada berbentuk wang atau harta benda. Buat perjanjian atau memo persefahaman sekiranya hutang tersebut besar jumlahnya dan tidak termampu dibayar sekali gus. Jangan sekali-kali dipendamkan begitu sahaja kerana ia akan mengundang fitnah, cercaan dan prejudis yang bakal menggugat reputasi dan kredibiliti diri serta kesyahduan Umrah yang bakal dilaksanakan itu.
  8. Bayar ansuran bulanan kereta anda itu dua pembayaran sekali gus bagi memastikan ansuran tersebut tidak tertunggak semasa ketiadaan anda menunaikan ibadah Umrah itu. Ansuran yang tertunggak akan menyebabkan anda terpaksa membayar denda atau penalti yang sia-sia dan tidak sepatutnya kerana telah menjadi amalan setiap bank pinjaman yang akan mengenakan caj penalti berdasarkan hari bagi setiap kelewatan pembayaran wang ansuran anda itu.
  9. Sediakan peruntukan kewangan yang sepatutnya bagi menjelaskan sewa rumah (jika berkenaan) kerana dikhuatiri sewa yang tertunggak atau terlambat dijelaskan akan menimbulkan fitnah dan boleh menggugat kekhusyukan ibadah Umrah.
  10. Serahkan dokumen yang di perlukan bagi permohonan visa umrah itu kepada pihak agensi seperti passport antarabangsa yang sah dan menepati keperluan, gambar mengikut bilangan dan saiz yang telah ditetapkan, salinan surat nikah dan surat pengesahan mahram serta salinan surat beranak dan bukti kelahiran bagi anak-anak di bawah 15 tahun yang bakal turut serta.
  11. Dapatkan suntikan vaksin ACYW 135 dari klinik-klinik swasta yang berhampiran serta dapatkan buku atau kad pengesahan bagi suntikan berkenaan untuk diserahkan kepada pihak agensi dan seterusnya untuk dikepilkan bersama-sama dalam proses permohonan Visa Umrah berkenaan.
  12. Uruskan permohonan untuk bercuti keluar negeri bagi mereka yang masih bertugas sama ada dengan pihak kerajaan atau agensi-agensi swasta dengan mengisi borang-borang yang telah ditetapkan serta mengemukakannya kepada pihak yang berwajib di sektor pekerjaan masing-masing untuk kelulusan.
  13. Sila dapatkan surat pengesahan penyertaan anda dalam program Umrah itu daripada pihak agensi pengendali Umrah bagi mengesah dan menyokong permohonan bercuti anda.
  14. Buat perancangan tugas yang diamanatkan kepada anda dengan menyelesaikan apa yang sepatutnya supaya tidak bertindih atau tertangguh dan bakal menyusahkan pihak Jabatan serta majikan anda disebabkan ketiadaan anda kerana bercuti untuk menunaikan ibadah Umrah berkenaan.
  15. Berkompromi atau buat penyesuaian yang perlu dengan rakan sejawatan bagi membantu menyempurnakan tugasan yang tidak boleh dipindah atau dianjak tarikh perlaksanaannya ketika ketiadaan anda menunaikan ibadah Umrah itu kelak.
  16. Mantapkan lagi ilmu pengetahuan tentang ibadah Umrah itu dengan tidak bosan dan jemu menghadiri kursus-kursus bimbingan yang ditawarkan oleh pihak agensi.
  17. Mantapkan kefahaman anda tentang tatacara pelaksanaan ibadah Umrah itu dengan membaca buku-buku bimbingan Umrah yang dibekalkan oleh pihak agensi atau daripada buku-buku bacaan tambahan yang telah dibeli atau dipinjam melalui saudara mara dan sahabat handai yang telah pernah menunaikan ibadah tersebut.
  18. Teruskan amalan menonton VCD, DVD yanga memaparkan keadaan sebenar pekerjaan Umrah berkenaan serta tempat-tempat yang bakal dikunjungi sepanjang melakukan ibadah tersebut bagi memantapkan kefahaman dan pengetahuan kita tentang tatacara pelaksanaan ibadah berkenaan.
  19. Mantapkan lagi penghayatan diri agar keghairahan untuk menjadi TETAMU ALLAH dalam program Umrah berkenaan kian teruja dan semarak dengan melatih diri bersembahyang secara berjemaah serta menghadiri majlis-majlis ilmu di surau atau masjid-masjid yang berdekatan dengan rumah kediaman.
  20. Tegaskan dalam minda bahawa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi itu adalah ibu kepada segala masjid di dunia ini dan ganjaran yang menanti setiap jemaah yang bersolat dalamnya adalah tersangat besar dan lumayan.
  21. Terus bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar Dia sudi menerima kehadiran anda di kedua tanah suci-Nya itu dengan tidak menurunkan sebarang bala bencana atau musibah saperti sakit yang terlantar dan berpanjangan, kecederaan yang teruk dan berat, masalah tidak diluluskan untuk bercuti, tidak dapat Visa, tidak mendapat tempat penerbangan serta beraneka masaalah yang kadang kala tidak terfikir oleh pemikiran manusia yang dangkal dan cetek ini.
  22. Perbanyakkan solat sunat tahajjud, taubat serta hajat agar anda terhindar serta dijahi daripada sifat-sifat mazmumah yang dimurkai Allah saperti sombong, takbur, bangga diri, ujub, riyak dan seumpamanya lantaran keupayaan anda untuk menunaikan ibadah Umrah tersebut menyifatkan mereka yang tidak mahu turut serta dalam kembara suci berkenaan sebagai kedekut, tidak tahu hukum hakam, kufur nikmat dan sebagainya.
  23. Perbanyakkan amalan bangun ditengah malam yang sunyi sepi itu untuk menzahirkan rasa syukur anda ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan rezeki serta membuka pintu hati hingga tersentuh serta terpanggil untuk mengabdikan diri dihadapan Baitullah yang agung dan mulia itu serta berada di sisi roh dan jasad baginda Rasulullah SAW serta melihat kebesaran dan keagungan alam, langit serta zat-zat Allah SWT di sepanjang perjalanan dan detik ketika menjadi TETAMU ALLAH.
  24. Suburkan sifat-sifat mahmudah saperti syukur, redha, ikhlas, tidak bangga diri, riyak atau ujub dan seumpamanya dan latih serta didik diri dan peribadi supaya menjadi insane yang tabah, sabar, bertimbang rasa, bertolak ansur, bersopan santun, berpekerti mulia yang amat diperlukan sepanjang waktu dan ketika berada ditanah suci itu kelak.
  25. Perbetulkan niat sebenar anda menunaikan ibadah Umrah itu. Adakah kerana ingin menunjuk-nunjuk kebebatan atau keupayaan diri, atau ingin berehat melapangkan fikiran serta merehatkan otak setelah penat bekerja tanpa berhenti selama beberapa tahun itu atau ingin melancong menambah pengetahuan serta mencuci mata dengan melihat pemandangan yang berbeza dengan yang terdapat di tanah air.
  26. Sematkan dalam jiwa dan minda bahawa tujuan anda menunaikan ibadah Umrah ini adalah untuk mendekatkan lagi diri anda kepada Allah serta hendak mensyukuri segala nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada anda.
  27. Sematkan juga dalam jiwa dan minda anda bahawa terlalu banyak dosa yang telah anda lakukan sepanjang hidup ini sama ada secara sedar atau disebabkan oleh kejahilan, kedegilan atau kebodohan anda yang mudah terpesona dengan tipu daya iblis dan syaitan atau mudah tertewas kepada runtuhan nafsu serakah yang liar dan buas itu. Kehadiran anda dalam program Umrah itu adalah untuk menggapai keampunan Allah SWT terhadap semua dosa-dosa tersebut.
  28. Ambil peringatan tentang cabaran-cabaran serta rintangan-rintangan yang menanti setiap TETAMU ALLAH di kota suci Makkah terutamanya.
  29.  Latih diri menghafal doa-doa yang telah disarankan khusus oleh para alim ulamak untuk dipohon pada tempat-tempat dan ketika-ketika tertentu semasa menunaikan ibadah Umrah itu kelak.
  30. Insafi bahawa doa-doa tersebut adalah tulang belakang atau sum-sum bagi sesuatu ibadah itu. Tanpanya ibadah kita saperti solat, puasa, zakat, korban, tawaf, saie dan penziarahan suci anda itu akan lesu dan longlai tiada bermaya. Doa adalah simbol atau petanda kebergantungan kita yang mutlak sebagai seorang hamba yang lemah dan daif itu terhadap Allah SWT selaki Al-Khaliq yang Maha Agung, Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan beraneka Maha lagi.
  31. Mantapkan rasa kekaguman anda terhadap setiap zat Allah yang anda lihat dalam kehidupan anda seharian saperti suasana suram waktu senja, fajar sidik yang melembayungi panorama diufuk timur, kicauan unggas dan mergastua rimba, kekalutan suasana di waktu kilat sabung menyabung serta petir dan guruh dentum mendentum menggegar bumi dan seumpamanya sehingga terpacul secara spontan ucapan: Allahu Akbar, Masya Allah, Na’uzubillah, Alhamdulillah, Tabarakullah, Subhanallah, Jazakallah, InsyaAllah, Innalillah dan seumpamanya.
  32. Jadikan kalimat-kalimat tersebut sebagai zikir harian serta basahan bibir anda setiap detik dan ketika sama ada sedang memandu kenderaan, sedang beristirehat, sedang berbaring sementara menunggu mata terlena atau sambil menunggu masuk waktu solat fardhu.
  33. Latih dan budayakan diri supaya sentiasa berada dalam wudhu’ dengan memeliharanya serta memperbaharinya sekiranya terbatal mskipun bukan untuk tujuan mendirikan solat. Amalan ini amat berguna dan amat membantu ketika anda berada dalam masjidil Haram atau Masjid Nabawi yang sentiasa sesak dan padat dengan para jemaah serta kedudukan dan tempat berwudhu’ yang agak jauh diluar masjid itu.
  34. Teruskan amalan membaca Al-Quran serta memahami terjemahan serta tafsirannya kerana ia dapat membantu anda meningkatkan keimanan dan ketaqwaan anda terhadap keagungan dan keesaan Allah SWT di samping dapat membantu serta mempermudahkan anda menghapuskan sifat-sifat mazmumah yang tercela dan menggilap kesuburan sifat-sifat mahmudah yang sedia bertakhta dalam diri anda itu.
  35. Mantapkan juga amalan bersedekah kerana amalan tersebut berupaya menghapuskan hati yang kotor dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah pada diri serta jiwa seseorang. Bersedekah juga mampu mendekatkan lagi diri kita serta mengkukuhkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah.
  36. Insafi hakikat behawa bersedekah bukan bermaksud dengan harta dan wang ringgit sahaja malah boleh juga dengan tenaga dan amal bakti yang soleh saperti nasihat, tunjuk ajar, bimbingan kaunseling dan sebaganya.
  37. Teruskan serta kejabkan amalan menjauhkan diri daripada menonton siaran televisyen yang mengasyik serta melalaikan yang telah mula dipraktikkan sejak enam bulan yang lalu. Dengan mengasingkan diri daripada adegan-adegan yang menimbulkan keghairahan dan keberahian itu sedikit sebanyak telah menyucikan minda, perasaan serta emosi kita yang amat diperlukan bagi menyucikan jiwa untuk sentiasa mengingati Allah SWT.
  38. Insafi hakikat bahawa jiwa yang suci itu mampu mengangkat serta menjulang martabat kekhusyukan dalam setiap ibadat rutin yang anda lakukan itu saperti solat, puasa, zakat dan Umrah yang bakal dilaksanakan.
  39. Teruskan amalan menjauhkan diri daripada mendengar muzik yang mengayik dan menggetarkan perasaan. Muzaik yang demikian boleh menjauhkan diri kita daripada mengingati Allah serta mampu menumpukan sensitiviti serta kepekaan kita kepada zat dan kebesaran Allah SWT.
  40. Insafi hakikat bahawa keprihatinan yang terhakis dan tercemar disebabkan muzik yang tidak berfaedah itu akan melunturkan keghairahan dan kemanisan ibadah Umrah maka sudah pasti ibadah Umrah tersebut menjadi tawar dan hambar serta tidak mampu membawa sesuatu manfaat yang terbaik pada diri pelakunya.
  41. Teruskan amaln yang bertujuan untuk memantapkan keadaan fizikal diri supaya terbina suatu kekuatan yang ampuh dan mantap untuk digunakan bagi mengharungi tuntutan ibadah Umrah yang lasak serta menagih kekuatan jiwa raga serta semangat itu.
  42. Gandakan lagi aktiviti riadah yang berbentuk berlari-lari anak, berbasikal, memanjat bukit, menaki tangga, serta latihan berdiri, rukuk, sujud serta duduk lama bagi membisasakan diri bagi menghadapi suasana bersolat dalam Masjidil Haram dan masjid nabawi serta mendaki Jabal Rahmah, jabal Nur, dan mengharungi ibadah ziarah yang memerlukan kekuatan minda, fizikal serta kesihatan yang sihat sejagtera.
  43. Rawat penyakit yang sedia ada pada diri anda supaya ia sentiasa berada pada tahap terkawal atau benat-benar sembuh sebelum melangkahkan kaki untuk mengerjakan ibadah Umrah itu.
  44. Perlu mengakui hakikat bahawa hanya kesihatan yang mantap dan ampuh sahaja yang mampu membendung kelasakan ibadah Umrah saperti tawaf, saie serta berziarah yang memerlukan naik turun bas, berjalan kaki, memanjat dan mendaki dan seumpamanya yang menjadi teras kepada penziarahan berkenaan.
  45. Disiplinkan diri dengan tidak cuai atau mengambil sikap sambil lewa terhadap arahan dan nasihat doktor dalam aspek pemakanan ubat-ubatan dan pematuhan terhadap peraturan-peraturan serta pantang larang yang disyorkan olehnya itu.
  46. Mantapkan amalan pemakanan seharian dengan meneruskan amalan memakan makanan-makanan tambahan yang sah dan selamat yang diusahakan oleh pakar-pakar pemakanan yang tersohor, berkarisma dan berkelayakan.
  47. Kunjungi saudara mara sama ada yang dekat mahu pun yang jauh untuk mengeratkan silaturrahim di samping membersihkan diri daripada sebarang pertelingkahan atau persengketaan.
  48. Gunakan peluang berkunjung itu untuk memohon kemaafan dan keampunan atas setiap kesalahan yang mungkin dilakukan secara sengaja disebabkan rasa marah, kecil hati, geram, cemburu dan seumpamanya atau kesalahan yang dilakukan menyinggung perasaan atau sindiran-sindiran sinis yang bertujuan untuk persendaan itu.
  49. Berhati-hati ketika terpaksa menyatakan hasrat untuk menunaikan ibadah Umrah itu sewaktu kunjungan berkenaan kerana dikhuatiri pihak yang masih belum ikhlas atau jujur dalam menerima pernyataan dan permohonan maaf kita itu akan beranggapan bahawa kita riak atau ingin menujuk-nunjuk kealiman dan kehebatan diri. Seboleh-bolehnya cuba bayangkan hasrat pemergian kita ke tanah suci itu dengan penuh berhikmah serta dengan ungkapan kata-kata yang berlapik serta merendah diri bagi mengelakkan sebarang fitnah atau salah tanggapan di pihak yang mendengarnya.


Semoga bermanfaat :)


"Untuk perkhidmatan yang lebih meyakinkan anda"

No comments:

Post a Comment