Wednesday, March 30, 2011

Umrah: Apa yang perlu anda tahu? - Madinah Al-Munawwarah (Ziarah Dalam)

(untuk paparan gambar yang lebih besar, klik pada gambar foto yang tersebut)



Di sebalik dinding itulah rumah Nabi. (Gambar diambil ketika saya berada di dalam Raudah)


Setelah memiliki tiket dan visa, maka seterusnya anda akan terbang ke Negara Arab Saudi. Anda sebenarnya mumpunyai beberapa pilihan, sama ada ingin terus ke Mekah atau Madinah. Sesetengah orang, ada yang memilih untuk hanya ke Mekah, jadi tepulang kepada pilihan masing-masing. Hadith Nabi Muhammad SAW ada menyebut:

"Tidak digalakkan umatku untuk mengembara kecuali ke tiga tempat, iaitu Masjid haram, Masjid Aqsa dan Masjid ku,(Masjid An-Nabawi),"

Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad SAW menyebut, "Solat di Masjid ku ini 1000 kali ganda lebih baik dari bersolat di masjid lain, kecuali Masjid Haram, kelebihannya sebanyak 100 000 kali ganda"

Paling menarik ialah sabda Nabi Muhammad SAW, 

"Barangsiapa yang menziarahi ketika aku meninggal dunia, sama seperti menziarahi aku ketika hidup,"

Salah satu penjuru luar Masjid Nabi.
Nah, maka pilihlah sama ada masih hanya ingin ke Mekah, atau menziarahi Nabi dan para Sahabat R.A. terlebih dahulu di Madinah. Madinah merupakan bumi kedua yang diharamkan selepas Mekah. Orang-orang kafir juga tidak dibenarkan untuk memasuki kota Madinah. 

Bumi inilah yang dahulunya menjadi bumi pilihan Nabi bersama para Sahabat untuk menjadi tapak penyebaran Risalah Tauhid, syariat Allah kepada seluruh umat manusia. Bumi yang menjadi saksi kesetiaan para Sahabat menemani dan mempertahankan Baginda dalam usaha Dakwah dan mempertahankan Negara Islam Madinah. Begitu banyak perang yang berlaku, begitulah banyaknya Sahabat yang syahid. Dalam beberapa peristiwa berdarah yang menjadi ingatan juga pesanan kepada kita umat Islam hari ini supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki pada hari ini.

Di Madinah, seperti yang kita sedia maklum, didirikan Masjid An-Nabawi, yang disambungkan dengan rumah Baginda bersama Siti Aisyah R.A. Di dalam rumah itu jugalah tempat bersemadinya jasad yang mulia, hamba yang paling dikasihi Tuhan, juga dikasihi oleh sekalian manusia sehingga ke hari ini, tidak putus mengucapkan selawat dan salam yang setinggi-tingginya kepada Baginda, Muhammad Bin Abdullah SAW.

Rupa bentuk Masjid Nabi, Di Bawah kubah hijau itulah rumah yang juga menempatkan Maqam Baginda dan dua orang sahabatnya.
Selain daripada jasad insan agung ini, di rumah ini juga disemadikan jasad Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Sahabat yang paling dikasihi Nabi, dimuliakan oleh Nabi ketika dipilih sebagai satu-satunya manusia yang menemani Nabi dalam peristiwa hijrah Nabi dan Para Sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Dilantik sebagai Khalifah pertama, malah anaknya juga dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah R.A. 

Di sebelah Maqam Saidini Abu Bakar pula, tersemadinya jasad insan yang digelar sebagai Al-Farouq, didoakan sendiri hidayah baginya oleh Nabi Muhammad SAW. Hatinya yang keras, menjadi lembut dan lantas menjadi yang terkuat mempertahankan Nabi ketika hayatnya, Saidina Omar Ibn Al-Khattab R.A. 

Selain itu, disebutkan juga di dalam hadith Nabi yang bermaksud, 

"Di antara rumahku dan mimbarku, ialah taman dari taman-taman syurga," 

Maka, bersebelahan dengan rumah Nabi Muhammad SAW, di bahagian kanan, di dalam ruang Masjid, ada satu ruangan yang disebut sebagai Raudhah, ditandai dengan karpet berwarna hijau cair. Benar, di Masjid An-Nabawi, juga di Masjid Al-Haram, semuanya menggunakan karpet berwarna merah, kecuali di Raudhah. Kawasannya agak luas, kira-kira 200 kaki persegi (mungkin juga lebih sebab tak sempat untuk mengira panjang dan lebarnya, mungkin kalau ada yang tahu boleh berkongsi di sini.. huhu)

Mihrab Nabi, tempat Nabi sujud ketika
mengimamkan solat
Di Raudhah ini terlalu banyak sejarahnya, dahulunya setiap tiang ditandai dengan nama tertentu sebagai menunjukkan sejarah yang pernah berlaku di situ. Termasuk tiang tamar, yang merupakan tapak kedudukan pohon tamar yang pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sokongan ketika berdiri menyampaikan khutbah. Sehingga suatu ketika, sebilangan kaum ansar menawarkan untuk membina mimbar untuk digunakan oleh Nabi. pohon itu akhirnya menangis kerana tidak lagi dapat berkhidmat untuk Nabi Muhammad SAW. 

Walaubagaimanapun, tiang-tiang itu tidak lagi ditanda dengan namanya seperti dahulu kerana begitu ramai yang taksub dan melakukan amalan-amalan penyembahan yang didapati bercanggah, apalagi apabila berhadapan dengan pemerintah Arab Saudi yang sangat mementingkan sunnah dan melarang sebarang bentuk bidaah dalam urusan agama.

Itulah kehebatan dan kelebihan Masjid An-Nabawi, aktiviti Ziarah Dalam di Madinah bermaksud menziarahi tempat-tempat suci dan mulia di atas. Selain itu, aktiviti Ziarah Dalam tidak lengkap tanpa kita menziarahi Tanah Perkuburan "Baqi'", tempat di mana bersemadinya 10 000 orang Sahabat, juga isteri-isteri Nabi bersama-sama Khalifah ke -3 Khulafa' Ar-Rasyidin, Saidina Uthman Ibn Affan R.A.

Ziarah Dalam, bukanlah seperti menziarahi tempat bersejarah dan menghayati kisah semata-mata, tetapi menziarahi mereka ialah dengan cara kita mengucapkan salam dan mendoakan mereka, juga berdoa agar kita juga mengikut jejak langkah untuk hidup mulia dan mati juga mulia. 

Mengucapkan salam dan selawat sebagai tanda penghormatan juga kasih dan rindu kita kepada nabi Muhammad SAW. Semoga tergolong di kalangan umat Baginda yang mendapat syafaat di hari akhirat kelak. Mencintai Allah dan Rasul melebihi segala-galanya yang ada di dunia yang sementara ini.

Di sini, kalau berqasidah, kesannya sangat mendalam. Dulu, sebelum saya pernah kenal dan hafal qasidah, saya berselawat dengan nasyid selawat yang saya tau. Merdu juga, tetapi kalau anda tahu mana-mana nasyid yang sedap-sedap, tiada masalah untuk anda alunkan. Tetapi, janganlah sampai mengganggu orang lain. Jujurnya, walaupun sesedap suara Allahyarham Ustaz Asri pun suara anda, tidak dibenarkan untuk mengangkat suara di Masjid ini, juga di mana-mana masjid kerana ianya akan mengganggu ibadah orang lain.


Labbaika Allahumma Labbaika!!!

Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827 / +603-8739 3018

Umrah: Apa Yang Anda Perlu Tahu? - Pertama dari yang utama!

Suasana di Masjid Haram, macam-macam gaya.
Seperti yang saya sebutkan dalam siri yang pertama mengenai perkongsian saya mengenai umrah, sepatutnya kali ini berkisar mengenai tentatif dan aktiviti di Mekah dan Madinah. Akan tetapi, saya merasakan ada yang terlebih dahulu perlu saya dahulukan, ada yang pertama yang perlu saya utamakan, iaitu KENAPA ANDA PERLU PERGI MENUNAIKAN UMRAH?

Saya alaminya dan merasainya sendiri, peri penting soalan pertama yang perlu anda jawab, KENAPA? 

Umrah dari segi istilah ialah menziarahi Masjid Al-Haram dan melaksanakan ibadah-ibadah yang tertentu. Tertentu di sini, merujuk kepada berihram, tawaf, saie dan seterusnya bertahallul. Aktiviti tawaf dan saie hanya disyariatkan di sini. Umrah adalah WAJIB berdasarkan firman Allah,

"Dan sempurnakan haji dan umrah kerana Allah," Al-Baqarah, 2 : 196

Kalimah "Atimmu" merupakan kata perintah yang membawa kepada hukum wajib yang secara jelas mewajibkan kita menunaikan umrah dan haji kerana Allah. Namun diperjelaskan dalam hadith Nabi, ketika menjawab soalan Malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki, ketika ditanyakan mengenai Islam, terakhir Nabi menyebutkan "Menunaikan haji di jalanNya bagi yang berkemampuan,"

Perintah ini, selain daripada membawa pengertian WAJIB, juga mengingatkan kita bahawa menunaikan umrah ataupun haji ini (begitu juga menguruskan pakej jemaah umrah dan haji) mestilah kerana Allah Ta'ala. Tanpa ada niat lain yang buruk. Pegangan kami di Darul Mubarak, juga saya amat yakin dan percaya, pegangan semua syarikat yang menawarkan Pakej Haji dan Umrah, kami melakukannya kerana Allah. Caj yang kami kenakan adalah caj perkhidmatan dan sama sekali tidak berniat ingin menipu atau menindas para jemaah yang merupakan tetamu-tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah.
Suasana di masjid juga begitu, sedang tidur pun dapat pahala.

Kami ada pekerja yang bekerja untuk menguruskan pakej para jemaah, bagaimana dengan periuk nasi mereka? Juga pekerja-pekerja yang bekerja di Terminal Haji, di Masjid Haram dan Masjid Nabawi, mereka semuanya diberikan gaji atas perkhidmatan yang mereka berikan. Saya, seperti pembimbing lainnya, sentiasa berharap agar kelemahan dan kekurangan yang pasti akan sentiasa ada tidak menghalang para jemaah mendapatkan kemanisan beribadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Itulah keutamaan kami di Darul Mubarak, juga mana-mana agensi Umrah dan Haji lainnya.

Oleh itu, sebelum anda membuat keputusan untuk pergi, terlebih dahulu tanya diri anda sendiri kenapa anda ingin benar menunaikan Umrah? 

Pengalaman saya yang tidak seberapa mengajar saya kepentingan niat dalam menunaikan umrah dan ziarah ini. Kerana perjalanan ini adalah perjalanan ubudiah, perhambaan kita kepada Allah. Segala kesusahan yang kita hadapi, pastinya adalah mehnah dan ujian daripada Allah. Tepat seperti yang diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith pertama "Hadith 40 Imam Nawawi", 

"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niatnya. Dan bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu akan sampai kepada Allah dan Rasul. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang menjadi habuan, atau perempuan yang ingin dinikahi, maka hijrahnya akan sampai kepada apa yang dia inginkan,"

Secara panjang lebar, Baginda mengingatkan kepada kita, supaya meletakkan kepentingan Allah dan Rasul dalam setiap perbuatan dan amalan kehidupan kita. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkaitan dengan ibadah khusus seperti manasik haji dan umrah ini. Maka, kita perlu membulatkan niat dan tekad kita untuk mendapatkan Allah dan Rasul dalam perjalanan kita menjadi tetamuNya nanti.

Saya melihat sendiri, mereka yang begitu jujur dan ikhlas ingin melaksanakan umrah dan ziarah ini, Allah Ta'ala berikan begitu banyak kelebihan, kekuatan dan kelapangan untuk melaksanakan ibadah sepanjang keberadaan mereka di sana. Pernah saya membawa seorang nenek, usianya hampir 80tahun, sudah bongkok namun kental semangatnya sehingga mampu melaksanakan 9 kali umrah. Bukan satu dua kes, malah begitu ramai yang saya lihat dan kenali sendiri, betapa tinggi dan murninya azam mereka menyahut panggilan daripada Allah. 

Dalam kes yang berbeza, saya ditemukan oleh Allah dengan seorang jemaah yang begitu sombong dan berlagak dengan kelebihan dirinya untuk menunaikan umrah, akan tetapi hanya sekali sahaja diberikan kesempatan untuk menunaikan umrah disebabkan ujian yang Allah Ta'ala berikan kepadanya. Semoga kita terpelihara dari kemurkaanNya.

Sebenarnya saya sendiri, terkadang tidak begitu kuat untuk menghadapi dan menguruskan jemaah yang pelbagai karenah ini. Ketika mula-mula menguruskan jemaah, ada sahaja yang tidak kena, complain yang macam-macam, bahkan ada yang memaki-hamun dan sebagainya. Namun Ust Mahyoni, teman saya, wakil Darul Mubarak di Mekah, pernah menasihatkan saya, "kita buat kerana Allah, jangan biarkan manusia menggagalkan kita! Lupakan jangan pendamkan, kerana memang inilah cabarannya" Ingatan yang cukup menyentuh dan menyentak hati saya. Setiap kali saya berhadapan dengan ujian, saya selalu ingat kata-kata ini, supaya perjalanan saya mencari Pencipta tidak dihalang oleh yang dicipta. 

Apa yang ingin saya tekankan sekali lagi di sini, ialah kepentingan Niat. Niat anda akan memberikan apa yang anda mahukan sepanjang berada di Tanah Suci. Sudah tentu, Niat yang baik memerlukan keazaman yang tinggi. Kerana kita sesekali tidak akan dibiarkan oleh Allah berkata bahawa kita beriman, selagi kita belum diuji. Bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita juga akan diuji, inikan pula dalam proses kita ingin menjadi tetamuNya, pasti akan ada ujian dan hanya hambaNya yang benar-benar ikhlas, akan melepasi ujian ini dengan mudah. Saya juga hamba yang lemah yang masih sangat memerlukan bantuan dan petunjuk dariNya. Moga ingatan ini baik untuk tuan-tuan dan puan-puan, lebih-lebih lagi kepada diri saya yang sekadar menyampaikan pesanan.

Kemanisan dan keindahan perasaan menjadi tetamuNya, hanya Allah yang tahu. Sukar digambarkan dengan kata-kata. "Sejuta kata tak cukup untuk melukis indahMu" (Bak kata Opick). Betapa terhibur dan terisinya hati kita tatkala dibentangkan dan diperlihatkan kehebatan ciptaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Berada di bumi kekasihNya, menghirup dan merasai udara yang pernah dihirup dan dirasa oleh Nabi. Berjalan atas bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi, menziarahi tempat-tempat bersejarah yang juga pernah menumpahkan darah Nabi yang mulia itu.

Penyucian dan pembersihan jiwa yang sangat berkesan, apalagi jika kita membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quranul Karim yang diturunkan di sana. Menghayati setiap perjalanan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang tiada tolok tandingnya. Apalah sangat derita yang kita alami nak dibandingkan dengan Nabi? Bahkan setiap waktu hanya memikirkan tentang kita, sedangkan kita sendiri tidak mampu menjawab apakah benar ada Nabi di hati kita?

Layakkah kita untuk berhadapan dengan Nabi dia akhirat kelak setelah segalanya kita korbankan untuk dunia yang sentiasa menipu dan melalaikan kita?

Perjalanan menjadi tetamu Allah dan RasuluLLah, adalah perjalanan ubudiah, seorang hamba yang mencari Rabb dan kekasih Rabbnya. Sepertimana Allah Ta;ala menghiburkan Nabi dalam peristiwa Isra' dan Mikraj, begitu jugalah harapan kita tatkala diizinkan oleh Allah untuk berjalan menjadi tetamuNya nanti.

Semoga segala usaha dan urusan kalian dipermudahkan, diberikan kelapangan dan menemui hakikat sebenar kejadian insan. Sama-sama kita doakan supaya diri kita, orang-orang yang bersama kita, malah seluruh manusia di dunia ini diberikan petunjuk oleh Allah, dan menjadikan kita asbab kepada petunjuk mereka. Ameen Ya Rabbal Alameen..

Jom, berusaha dan beramal, kerana dan ke arahNya..

Labbaika Allahumma Labbaika!!!

Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827 / +603-8739 3018

Umrah: Apa yang perlu anda Tahu?

Tentu seronok mendengar / membaca mengenai pengalaman mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk melakukan Umrah dan Ziarah. Sudah tentu, ianya akan menjadi lebih seronok sekiranya anda mengalaminya sendiri. Jadi, beberapa perkara yang perlu anda tahu mengenai Umrah ini, saya kongsikan supaya anda mendapat lebih motivasi dan persediaan untuk ke sana.

Keperluan utama untuk mengerjakan Umrah.

Di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawwarah
1. Visa - Untuk mendapatkan visa, terlebih dahulu anda perlu memiliki sebuah Passport Antarabangsa Negara anda sendiri. Sekiranya anda merupakan warganegara Malaysia, maka anda bolehlah memohon untuk mendapatkan Passport di mana-mana pejabat Imegresen yang terdekat. Harga untuk sebuah Passport ialah RM100, sah untuk tempoh 3 Tahun, terdapat 48 muka surat. (Bermakna 48 kali boleh melancong). Untuk ke luar negara, Passport anda mestilah sah untuk tempoh 6 bulan sebelum tarikh anda melancong.

Sebagai contoh, jika anda berhajat ingin menunaikan umrah pada tanggal 9 September 2011, maka Passport anda mestilah mempunyai kekosongan 2 muka surat dan sah sekurang-kurangnya sehingga 10 Mac 2011.

Harga untuk visa ialah RM300 seorang.

2. Dokumen Mahram (bagi wanita) Selain itu, khusus untuk wanita, anda perlu pergi bersama Mahram, atau setidak-tidaknya mendapat kebenaran daripada Mahram anda. Jika tidak, visa tidak akan dikeluarkan. Untuk tujuan ini, dokumen yang boleh membuktikan hubungan pertalian antara anda dan Mahram adalah diperlukan. Jika anda pergi bersama suami, maka sijil nikah diperlukan, atau jika anda pergi bersama anak / ayah/ abang, maka surat beranak diperlukan.

Sekiranya anda tidak pergi bersama Mahram lelaki, anda perlu mempunyai kumpulan Wanita sekurang-kurangnya 5 orang. Pada kebiasaanya, Agensi yang mengendalikan urusan visa akan mengumpulkan sendiri wanita yang tidak mempunyai mahram untuk diletakkan di dalam satu kumpulan.

3. Buku Cucuk. Untuk tujuan keselamatan dan kesihatan, anda perlu terlebih dahulu mendapatkan suntikan meningitis, suntikan khas untuk mendapatkan visa Umrah / Haji. Setiap kali suntikan, bertahan untuk tempoh dua tahun. Akan tetapi, ibu mengandung dan mereka yang mengalami masalah-masalah kesihatan tertentu perlu terlebih dahulu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil suntikan ini.

4. Tiket Kapal Terbang. Dahulu, umrah tidak begitu popular disebabkan kemudahan pengangkutan yang agak terhad. Maka, datuk-datuk dan opah-opah kita hanya menumpukan kepada ibadah haji, itupan kebiasaannya hanya setahun seumur hidup. Kalau ada yang nak pergi Umrah / Haji, pasti akan diadakan kenduri doa selamat besar-besaran. Tetapi, keadaan sekarang sudah berbeza, anda boleh terbang pada bila-bila masa asalkan ada wang. 

Oleh kerana Mekah dan Madinah terletak di Negara Arab Saudi, maka anda bolehlah mendapatkan mana-mana tiket penerbangan yang boleh membawa anda ke sana. Terdapat beberapa jenis tiket yang boleh anda pertimbangkan:

a. Tiket Penerbangan Terus (Direct Flight): Tiket jenis ini hanya boleh didapati daripada dua syarikat Penerbangan iaitu Malaysia Airline System (MAS) dan juga Saudi Airline (SUV). Harga tiket jenis ini kebiasaanya adalah lebih mahal berbanding tiket biasa, iaitu bermula dari RM1500 (tidak termasuk cukai lapangan terbang bagi setiap perjalanan). Bermakna, untuk pergi balik, hampir RM3500.

b. Tiket Penerbangan Transit (transit Flight). Tiket jenis ini lebih murah dan mudah didapati. Hampir setiap Negara Islam ada menyediakan penerbangan tranist di Negara Masing-masing, termasuk Garuda (Indonesia)Royal Brunei (Brunei), Biman (Bangladesh), PIA (Pakistan)Gulf Air (Bahrain)Yemenia Airway (Yaman), dan banyak lagi. Anda juga boleh menaiki pesawat dari mana-mana Negara asalkan penerbangan itu boleh membawa anda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, Arab Saudi. Tempoh transit bergantung kepada jadual penerbangan syarikat terbabit. Adakalanya, sekitar 3 hingga 4 jam(paling cepat), ada juga yang memakan masa sehari dan terpaksa bermalam. Untuk transit, anda tidak perlu menjalani proses imegresen, sebaliknya akan terus dibawa ke Meja Pertukaran (transfer desk) atau Transit untuk proses seterusnya.

Pihak Lapangan Terbang akan menyediakan Hotel untuk menginap sekiranya tempoh transit lebih daripada 6 jam, termasuk makanan yang perlu ditanggung oleh penumpang sendiri. Jika anda mengikuti pakej dengan mana-mana agensi, kebiasaanya agensi terbabit akan memasukkan jumlah bayaran tersebut ke dalam harga keseluruhan pakej.

Sepanjang tempoh transit, anda boleh melawat-lawat di negara terbabit, pastikan anda membawa bersama Passport dan ada pegawai atau individu yang boleh dipercayai untuk memandu dan membantu anda.

c. Tiket Penerbangan Sambil Melancong.Tiket jenis ini tidak ada bezanya dengan tiket transit di atas, cuma, tempoh persinggahan adalah lebih lama. Anda boleh menyusun jadual penerbangan anda supaya tempoh anda singgah ke negara terbabit dapat dipanjangkan. Tempoh maksimum untuk transit biasa ialah 24 jam, kecuali masalah teknikal seperti penangguhan penerbangan (Flight Delayed). Jika lebih daripada itu, anda tidak dikira sebagai transit sebaliknya melancong maka perlu menjalani proses imegresen seperti biasa.

Sekadar itu dahulu, untuk siri akan datang, saya akan berkongsi mengenai jadual perjalanan anda di Mekah dan Madinah, juga sedikit mengenai asas hukum-hakam dan fiqah berkaitan dengan Umrah dan Ziarah. Teruskan membaca, jangan segan atau bertanguh untuk meninggalkan komentar atau soalan sekiranya ada...

Labbaika Allahumma Labbaik!!!!



Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus 
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827  /  +603-8739 3018.