Wednesday, March 30, 2011

Umrah: Apa yang perlu anda tahu? - Madinah Al-Munawwarah (Ziarah Dalam)

(untuk paparan gambar yang lebih besar, klik pada gambar foto yang tersebut)



Di sebalik dinding itulah rumah Nabi. (Gambar diambil ketika saya berada di dalam Raudah)


Setelah memiliki tiket dan visa, maka seterusnya anda akan terbang ke Negara Arab Saudi. Anda sebenarnya mumpunyai beberapa pilihan, sama ada ingin terus ke Mekah atau Madinah. Sesetengah orang, ada yang memilih untuk hanya ke Mekah, jadi tepulang kepada pilihan masing-masing. Hadith Nabi Muhammad SAW ada menyebut:

"Tidak digalakkan umatku untuk mengembara kecuali ke tiga tempat, iaitu Masjid haram, Masjid Aqsa dan Masjid ku,(Masjid An-Nabawi),"

Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad SAW menyebut, "Solat di Masjid ku ini 1000 kali ganda lebih baik dari bersolat di masjid lain, kecuali Masjid Haram, kelebihannya sebanyak 100 000 kali ganda"

Paling menarik ialah sabda Nabi Muhammad SAW, 

"Barangsiapa yang menziarahi ketika aku meninggal dunia, sama seperti menziarahi aku ketika hidup,"

Salah satu penjuru luar Masjid Nabi.
Nah, maka pilihlah sama ada masih hanya ingin ke Mekah, atau menziarahi Nabi dan para Sahabat R.A. terlebih dahulu di Madinah. Madinah merupakan bumi kedua yang diharamkan selepas Mekah. Orang-orang kafir juga tidak dibenarkan untuk memasuki kota Madinah. 

Bumi inilah yang dahulunya menjadi bumi pilihan Nabi bersama para Sahabat untuk menjadi tapak penyebaran Risalah Tauhid, syariat Allah kepada seluruh umat manusia. Bumi yang menjadi saksi kesetiaan para Sahabat menemani dan mempertahankan Baginda dalam usaha Dakwah dan mempertahankan Negara Islam Madinah. Begitu banyak perang yang berlaku, begitulah banyaknya Sahabat yang syahid. Dalam beberapa peristiwa berdarah yang menjadi ingatan juga pesanan kepada kita umat Islam hari ini supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki pada hari ini.

Di Madinah, seperti yang kita sedia maklum, didirikan Masjid An-Nabawi, yang disambungkan dengan rumah Baginda bersama Siti Aisyah R.A. Di dalam rumah itu jugalah tempat bersemadinya jasad yang mulia, hamba yang paling dikasihi Tuhan, juga dikasihi oleh sekalian manusia sehingga ke hari ini, tidak putus mengucapkan selawat dan salam yang setinggi-tingginya kepada Baginda, Muhammad Bin Abdullah SAW.

Rupa bentuk Masjid Nabi, Di Bawah kubah hijau itulah rumah yang juga menempatkan Maqam Baginda dan dua orang sahabatnya.
Selain daripada jasad insan agung ini, di rumah ini juga disemadikan jasad Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Sahabat yang paling dikasihi Nabi, dimuliakan oleh Nabi ketika dipilih sebagai satu-satunya manusia yang menemani Nabi dalam peristiwa hijrah Nabi dan Para Sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Dilantik sebagai Khalifah pertama, malah anaknya juga dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, Saidatina Aisyah R.A. 

Di sebelah Maqam Saidini Abu Bakar pula, tersemadinya jasad insan yang digelar sebagai Al-Farouq, didoakan sendiri hidayah baginya oleh Nabi Muhammad SAW. Hatinya yang keras, menjadi lembut dan lantas menjadi yang terkuat mempertahankan Nabi ketika hayatnya, Saidina Omar Ibn Al-Khattab R.A. 

Selain itu, disebutkan juga di dalam hadith Nabi yang bermaksud, 

"Di antara rumahku dan mimbarku, ialah taman dari taman-taman syurga," 

Maka, bersebelahan dengan rumah Nabi Muhammad SAW, di bahagian kanan, di dalam ruang Masjid, ada satu ruangan yang disebut sebagai Raudhah, ditandai dengan karpet berwarna hijau cair. Benar, di Masjid An-Nabawi, juga di Masjid Al-Haram, semuanya menggunakan karpet berwarna merah, kecuali di Raudhah. Kawasannya agak luas, kira-kira 200 kaki persegi (mungkin juga lebih sebab tak sempat untuk mengira panjang dan lebarnya, mungkin kalau ada yang tahu boleh berkongsi di sini.. huhu)

Mihrab Nabi, tempat Nabi sujud ketika
mengimamkan solat
Di Raudhah ini terlalu banyak sejarahnya, dahulunya setiap tiang ditandai dengan nama tertentu sebagai menunjukkan sejarah yang pernah berlaku di situ. Termasuk tiang tamar, yang merupakan tapak kedudukan pohon tamar yang pernah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sokongan ketika berdiri menyampaikan khutbah. Sehingga suatu ketika, sebilangan kaum ansar menawarkan untuk membina mimbar untuk digunakan oleh Nabi. pohon itu akhirnya menangis kerana tidak lagi dapat berkhidmat untuk Nabi Muhammad SAW. 

Walaubagaimanapun, tiang-tiang itu tidak lagi ditanda dengan namanya seperti dahulu kerana begitu ramai yang taksub dan melakukan amalan-amalan penyembahan yang didapati bercanggah, apalagi apabila berhadapan dengan pemerintah Arab Saudi yang sangat mementingkan sunnah dan melarang sebarang bentuk bidaah dalam urusan agama.

Itulah kehebatan dan kelebihan Masjid An-Nabawi, aktiviti Ziarah Dalam di Madinah bermaksud menziarahi tempat-tempat suci dan mulia di atas. Selain itu, aktiviti Ziarah Dalam tidak lengkap tanpa kita menziarahi Tanah Perkuburan "Baqi'", tempat di mana bersemadinya 10 000 orang Sahabat, juga isteri-isteri Nabi bersama-sama Khalifah ke -3 Khulafa' Ar-Rasyidin, Saidina Uthman Ibn Affan R.A.

Ziarah Dalam, bukanlah seperti menziarahi tempat bersejarah dan menghayati kisah semata-mata, tetapi menziarahi mereka ialah dengan cara kita mengucapkan salam dan mendoakan mereka, juga berdoa agar kita juga mengikut jejak langkah untuk hidup mulia dan mati juga mulia. 

Mengucapkan salam dan selawat sebagai tanda penghormatan juga kasih dan rindu kita kepada nabi Muhammad SAW. Semoga tergolong di kalangan umat Baginda yang mendapat syafaat di hari akhirat kelak. Mencintai Allah dan Rasul melebihi segala-galanya yang ada di dunia yang sementara ini.

Di sini, kalau berqasidah, kesannya sangat mendalam. Dulu, sebelum saya pernah kenal dan hafal qasidah, saya berselawat dengan nasyid selawat yang saya tau. Merdu juga, tetapi kalau anda tahu mana-mana nasyid yang sedap-sedap, tiada masalah untuk anda alunkan. Tetapi, janganlah sampai mengganggu orang lain. Jujurnya, walaupun sesedap suara Allahyarham Ustaz Asri pun suara anda, tidak dibenarkan untuk mengangkat suara di Masjid ini, juga di mana-mana masjid kerana ianya akan mengganggu ibadah orang lain.


Labbaika Allahumma Labbaika!!!

Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827 / +603-8739 3018

No comments:

Post a Comment

Post a Comment