Thursday, September 13, 2012

Persiapan Mental Ke Tanah Suci

 
1. Memahami keadaan di Tanah Suci

Adalah sangat penting bagi bakal haji/umrah memahami  keadaan di Tanah Suci kerana ia sangat berbeza dengan keadaan di negara kita.

Dengan memahami keadaan yang sebenar di sana, maka dapatlah bakal jemaah bersedia menempuh segala ketidak-selesaan dengan penuh kesabaran dan tabah menghadapi segala dugaan. Ini selaras dengan hakikat perjalanan haji itu sendiri yang bukanlah pelancongan agama semata-mata tetapi satu perjalanan suci umat Islam untuk membersihkan diri daripada segala dosa dan kesalahan.

2. Cuaca dan suhu

-
Suhu amat sejuk ( pada bulan-bulan tertentu khususnya Disember - Mac )
-
Suhu amat panas ( pada bulan-bulan tertentu )
-
Udara berdebu
-
Hujan lebat dan banjir yang tidak menentu

Jemaah akan menempuh cuaca yang berbeza dari tanah air kerana cuaca di Tanah Suci sentiasa berubah khususnya cuaca di Madinah yang adakalanya amat sejuk sehingga berada di bawah paras 10 darjah celcius. Cuaca di Makkah pula agak panas dengan hawa berdebu dan kering. Keadaan sebegini mungkin akan menyebabkan gangguan kesihatan seperti batuk, selsema, demam, bibir dan tumit kaki pecah kekeringan dan sebagainya.

Bagi menghadapi cuaca sejuk yang keterlaluan, jemaah perlu memakai pakaian tebal samada dengan membawa dari tanah air atau membeli sewaktu di sana.  


3. Bekalan Air

Mungkin terhad 
  • Punca bekalan air di tanah Suci adalah daripada telaga dan air lut yang diproses. Oleh itu bekalan terutamanya semasa musim haji adalah terhad
  • Bekalan di bangunan penginapan jemaah haji diangkut menggunakan lori dan kadangkalanya bekalan air ini terputus khususnya semasa seminggu sebelum dan selepas wukuf.
  • Bekalan air di bangunan penginapan jemaah haji adalah untuk kegunaan mandian dan sucian. Air tersebut perlu dimasak terlebih dahulu untuk tujuan minuman.
 Air minum mudah diperolehi
  • Air botol ( air mineral ) mudah diperolehi di Tanah Suci
  • Air minuman terdapat di dalam Masjidil Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah ( Air Zam-Zam ) dan juga tempat-tempat penginapan jemaah haji.
  • Tempat wuduk dan tandas awam terdapat disekeliling Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah    

4. Tempat Penginapan
  • Keadaan bangunan penginapan yang tinggi lebih kurang 10 tingkat dan boleh memuatkan jemaah haji antara 5000 hingga 6000 orang. Jarak tempat penginapan dengan masjid antara 50 meter - 850 meter. 
  • Muatan bagi sesebuah bilik adalah mengikut ukuran yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi
  • Lif sentiasa penuh sesak apabila masuk waktu solat dan kadangkala kerosakan lif di mana jemaah haji terpaksa menggunakan tangga ( bagi jemaah haji yang tidak mempunyai masalah kesihatan )  
  • Perlu menunggu dengan sabar untuk menggunakan tandas dan lif. (Beri keutamaan kepada yang tua dan uzur )
  • Bilangan tandas terhad dan terpaksa berkongsi dengan jemaah lain.
  • Jemaah haji adalah dilarang merokok dalam bilik dan bangunan penginapan

5. Kenderaan

Bas, Teksi, Kereta Sewa dan Monorel
  • Kenderaan yang utama bagi mengangkut jemaah ke Arafah, Mina, Makkah, Madinah serta Jeddah adalah bas yang boleh memuatkan 40 - 50 orang penumpang. Oleh yang demikian, jemaah dilarang berebut, memandangkan tempat duduk untuk setiap jemaah disediakan dan mencukupi.
  • Di waktu kemuncak haji di Makkah dan Madinah semua kenderaan tidak dibenarkan memasuki kawasan-kawasan di sekitar masjid.
  • Jemaah dinasihatkan membuang air kecil atau besar dahulu sebelum menaiki kenderaan khususnya untuk perjalanan jauh kerana bas yang dinaiki tidak mempunyai tandas
  • Selain bas, jemaah boleh juga menyewa teksi atau kereta sewa untuk ke Tana'im atau Ja'aranah untuk berniat umrah
  • Jemaah dinasihatkan berhati-hati apabila melintas jalan kerana sistem lalulintas adalah berbeza dengan tanah air sendiri.  

 6.  Suasana di Tanah Suci
  • Keadaan sesak di mana sahaja termasuk di tempat ibadat dan kediaman. 
  • Lif sentiasa penuh dan sesak apabila waktu solat dan adakalanya jemaah terpaksa menggunakan tangga
  • Jemaah yang ramai dari serata dunia dengan bermacam ragam, sikap dan perangai
  • Jemaah terpaksa berjalan kaki ketika waktu kemuncak (hampir wukuf) kerana kenderaan kecil tidak dibenarkan masuk ke kawasan masjid di Makkah dan Madinah. Jemaah juga adakalanya terpaksa berjalan kaki beberapa kilometer sewaktu di Muzdalifah dan Mina kerana sebab-sebab luar jangka yang tidak dapat dielakkan. Keadaan sebegini sememangnya menguji kesabaran dan memerlukan ketahanan mental yang amat tinggi.   
Semoga kita semua sabar dalam beribadah kepada-Nya.
 

No comments:

Post a Comment