Tuesday, June 17, 2014

Catatan Jemaah yang pernah bersama rombongan Darul Mubarak Travel & Tour

Perjalanan Rohani 1

Terminal Haji Jeddah

TERKEJUT.  Itulah reaksi pertama kami apabila diberitahu Haji Osman bahawa hanya kami tiga beranak yang akan berlepas dari KLIA pagi itu di bawah seliaannya.  Apa lagi yang mampu kami fikirkan saat itu?  Tawakal kepada Allah semata-mata.  Haji Osman membawa kami minum di tingkat bawah KLIA.  Di situ lah dia memberi taklimat bagaimana perjalanan kami.  Dari KLIA, kami akan ke Jeddah dengan penerbangan MAS.  Sampai di Jeddah, kami akan mengikut rombongan Darul Mubarak dan menumpang bas rombongan itu terus ke Madinah.  Sampai di Madinah kami perlu menghubungi Ustaz Syawal, seorang bangsa Melayu Pattani yang telah menetap lama di Madinah.  Kami akan diberikan hotel yang berhampiran dengan Masjid Nabawi.  Kata-kata Haji Osman seterusnya bagai tidak kedengaran di telinga, hanya catatan rancangan perjalanan kami pada sekeping kertas putih yang mampu dilihat.  Ada nombor-nombor telefon yang perlu dihubungi nanti.  Ya Allah, berkati lah perjalan kami.  Permudahkan lah perjalanan kami.  Hanya doa menjadi sandaran.

KAMI berpisah, bersalaman dengan Haji Osman.  Bagasi sudah didaftar masuk.  Mata menjeling-jeling mencari rombongan Darul Mubarak yang bakal menjadi sandaran untuk ke Jeddah.  Mujurlah mudah dikenali dengan beg sandang berwarna ungu dengan lambang Darul Mubarak.  Kami melolos diri, masuk ke dalam rombongan itu dan berkenal-kenalan.  Sepanjang masa menunggu di KLIA, ketika mengambil giliran solat di surau dan ketika beratur masuk ke pesawat, masa yang berharga untuk berkenalan.  Memperkenalkan diri sebagai orang yang ditumpangkan ke rombongan Darul Mubarak walau pun hakikatnya - di dalam hati, kami tidak yakin Haji Osman telah memaklumkan atau tidak kepada Darul Mubarak.  Perasaan kami, hanya Allah yang tahu.  Doa kami sentiasa bergaung di dalam hati sepanjang perjalanan.  Ya Allah, permudahkan lah...


Perjalanan Rohani 2


KAABAH sudah seperti melambai-lambai, menggamit kami datang.  Persoalan paling besar untuk perjalanan rohani ini bukan lagi soal kewangan walau pun soal kewangan selalu dijadikan alasan.  Bagi kami yang mempunyai seorang anak OKU, soal penjagaan itulah yang paling utama.  Siapa mahu menguruskannya kalau tidak orang yang sudah biasa dan tahu serba-serbi dengan A-Z kehidupannya.  Setelah berminggu-minggu berfikir, berbincang dan menyenaraikan altenatif-altenatif, kami terpaksa meminta pusat jagaan tenpat bernaung untuk mengorbankan cuti sabtu ahad untuk dua minggu.  Syukur, pihak pusat jagaan itu tidak keberatan.

Ada yang bertanya, kenapa tidak dibawa sekali ke Mekah.  Mana tahu, dengan kuasa Allah sesuatu yang ajaib boleh berlaku.  Mengenangkan keadaan Along yang lambat bergerak, juga perlu duduk diam dalam kapal terbang untuk 8 jam dan seribu macam alasan lagi - ternyata kami tidak mampu.  Pedihnya, Allah sahaja yang tahu.  Memang jika boleh kami mahu pergi sekeluarga.  Jika Adik boleh bersama kami, kenapa tidak Along?  Tidakkah kami berat sebelah?  Kami tidak adil?  Ah, bukankah dunia sememangnya tidak adil kepada OKU seperti Along, juga tidak adil kepada keluarga yang punya anak OKU seperti kami.  Kami telah lalui bertahun-tahun, belasan tahun atau lebih tepat 17 tahun.  Itulah yang seolah-olah menarik-narik hati kami dalam perjalanan rohani ini.  Ingin berbisik kepada Allah di hadapan Kaabah, tentang perjalanan hidup kami yang penuh warna-warna.  Tentang jalan hadapan hidup kami dan Along khasnya yang kami hanya berserah kepadaNya semata-mata.  Kepada Mu Ya Allah kami berserah diri...


Perjalanan Rohani 3


Kapal terbang yang cukup luas.  Tidak pasti jenisnya Airbus 380?  Tak pernah ambil tahu jenis kapal terbang kecuali tahu jenamanya Boeing.  Tempat duduk 3 sebaris di tepi, 5 di tengah dan 3 di tepi.  Malangnya ruang cukup sempit, bagai dalam sebuah bas ekspress.  Apa lagi jika membawa tubuh besar.  Itu lah yang dinamakan kelas ekonomi.  Terlalu ekonomi dan yang paling tidak enak, kami tiga beranak berpisah tempat duduk.  Nama tempat duduk dipisahkan mengikut abjad.  Aiman di depan, huruf A.  Saya di belakang, M dan isteri lebih kebelakang di sebelah kiri pesawat kerana namanya S.  Ada sepasang suami isteri membawa anak kecil, mungkin dalam usia setahun lebih.  Mereka terpisah jauh tetapi si anak meragam, takut dengan suasana pesawat.  Sepanjang masa ibu dan ayah bergilir-gilir mendukung.  Tidak faham kenapa perkara semudah ini susah untuk dilakukan.  Jika MAS memberi kelonggaran meletakkan nama sekelompok pasti memberi kelebihan.

Lapan jam di dalam pesawat, kami gagahi juga.  Lenguh pinggang, berjalan mudar madir.  Berkenalan dengan jemaah dari rombongan lain.  Ada yang umrah baru kali pertama tetapi ramai yang sudah dua tiga kali.  Yang pernah naik haji pun ada.   Nikmat beribadah di tanah suci, hanya yang pernah pergi sahaja yang tahu.  Yang telah pergi bagai terpanggil-panggil mahu ke sana lagi.  Setiap kali selepas solat, bermunajat kepada Nya, memohon supaya di beri peluang lagi.  Seorang pakcik, Haji Ahmad dari Melaka yang kebetulan duduk di sebelah Aiman.  Isterinya duduk berhampiran, memberi ruang untuk meluruskan kaki.  Jika duduk lama-lama, jadi kebas kerana darah berkumpul.  "Biar apa pun rintangan, pakcik tetap akan pergi.  Bila dah sampai ke depan Kaabah, semua kesusahan sudah hilang," katanya.  Semua kesusahan, kepahitan itu menjadi kemanisan yang tiada tolok bandingannya.  Saya teringat ketika bekerja di Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, KDN dahulu, kami mengikuti rombongan mendaki Gunung Nuang.  Bagi pendaki tegar, mendaki Gunung Nuang seperti latihan waktu petang sahaja.  Naik dan turun dalam masa beberapa jam.  Pada kami yang tak pernah mendaki gunung, azabnya Allah sahaja yang tahu.  Sehinggakan terkeluar dari mulut, "apa lah yang aku buat mendaki gunung.  Kan lebih elok melepak menonton TV di rumah!"  Keluhan itu menjadi bahan ketawa tetapi bila tiba di puncak gunung, dapat menikmati keindahan alam, segala susah payah penderitaan - lenguh kaki, pacat, jatuh terduduk - dilupakan.  Mungkin begitu lah.  Mungkin itu lah juga pengalaman orang yang sudah jauh berumur seperti Haji Ahmad.  Dan saya sangat-sangat bersyukur, dalam usia 41 tahun, kini sedang menuju ke tanah suci.

Lapan jam dilalui dengan sabar, menyelak buku panduan umrah dan membaca doa-doa yang akan dibaca bila tiba waktunya.  Tertidur dan terjaga kembali.  Masih tidak sampai-sampai.  Di sebelah saya dua orang gadis yang ternyata jauh lebih muda dari saya.  Kedua-duanya membuka gerai di R&R Bukit Gantang.  Nama, tidak bertanya.  Apa yang saya ingat, betapa bertuahnya - dalam usia yang jauh lebih muda dari saya sudah dalam perjalanan ke tanah suci.  Sedang gadis-gadis lain lebih senang mengikuti penerbangan murah Air Asia ke serata Asean, Bangkok, Bukit Tinggi, Padang, Vietnam...  Perjalanan rohani ini untuk yang terpilih, yang dijemput oleh Nya.  Pun begitu, dalam hati bergolak rasa - bagaimana nasib kami nanti?  Hanya kepada Allah kami memohon.  Tambah mengharukan bila saya membandingkan jumlah yang kami bayar dengan apa yang mereka bayar, begitu jauh berbeza.  Kami membayar pakej umrah hampir seribu ringgit lebih murah.  Ada perkara negatif melayang di fikiran dan saya cepat-cepat beristifar...


Perjalanan Rohani 4



Akhirnya kapal terbang mendarat di Jeddah.  Sungguh, lapangan terbang antara bangsa yang jauh lebih besar dari KLIA.  Tiga buah bas besar sedia menunggu sebaik sahaja kami menuruni kapal terbang.  Oleh kerana ramainya manusia, kami terpisah.  Hanya saya dan Aiman menaiki bas ke dua, manakala isteri bas ketiga.  Tidak boleh menunggu, pak arab yang menjaga laluan pantas menghalau kami masuk ke dalam bas dan menutup pintu - bagai gembala menghalau  sekumpulan kambing masuk ke dalam kandang.  Berhimpit-himpit.  Kerana menyamakan manusia dengan kambing inilah novel Interlok dibakar!

Perjalanan tiga buah bas ke terminal haji mengambil masa 15 minit sebelum kami diturunkan di bangunan terminal haji yang luas.  Kami mendaki tangga ke tingkat satu dan dihimpunkan dalam satu ruang menunggu.  Mujurlah, kami sekeluarga dapat berkumpul semua dan kemudian duduk menunggu.  Untuk berapa lama?  Kata orang yang lebih berpengalaman, paling cepat proses keluar akan mengambil masa dua jam.  Jika musim haji, tempohnya akan lebih panjang lagi.  Ketika itu pekerja-pekerja warga bukan arab yang mencari rezeki sebagai petugas pembersihan mendekati kami dan menawarkan kad-kad sim telefon bimbit.  Ada banyak syarikat rupanya.  Ada yang 50 riyal, ada yang 60 riyal.  Jemaah yang sudah meninggalkan tanahair hampir sehari suntuk berebut membeli, yang tua meminta si penjual memasukkan kad sim itu ke dalam telefon dan terus mendail nombor keluarga di tanahair sebaik sahaja melunaskan bayaran.  Saya teringat pesanan adik ipar yang baru pulang dari tanah suci beberapa bulan lepas, jangan beli kad sim dari orang perseorangan di terminal haji  kerana harganya ternyata mahal.  Maka kami bertahan, nanti lah - jumpa kedai baru beli.  Malangnya memang tiada kedai di dalam kompleks itu.

Seorang pak arab berpakaian seragam mengedarkan kertas-kertas putih kecil.  Dia berteriak menerangkan dalam bahasa Arab.  masing-masing mengambil kertas itu dan menulis.  Ada ruang nama, muasasah dan banyak lagi.  Semuanya dalam tulisan Arab.  Ya Allah, alangkah ruginya hamba Mu ini.  Buta huruf!  Tak tahu membaca mahu pun menulis.  Yang kami tahu rumi dan rumi.  Huruf arab ini tak berbaris, kata seorang abang di sebelah.  Ustaz mengaji dulu tak ajar, katanya lagi membuatkan kami ketawa.


Perjalanan Rohani 5


SEBAGAI orang menumpang, pandai-pandai lah membawa diri.  Menyedari diri kami yang bergantung harap kepada kumpulan jemaah lain maka kami pun sentiasa berada berhampiran dengan kumpulan jemaah Darul Mubarak.  Beg sandang mereka berwarna biru muda dan ungu senang kelihatan dari jauh.  Mudah lah menjadi panduan kami.  Kertas-kerats putih yang diedarkan perlu segera di isi.  Pak arab berpakaian seragam sudah menjerit-jerit memanggil.  Saya menggamit seorang pekerja pembersihan, barang kali orang Pakistan.  Mujur lah, dia tahu membaca tulisan arab dan membantu.  "This is name," katanya.  "This is passport number...  This is muasasah name..."  Ternyata nama muasasah menjadi perkara baru.  Siapa muasasah kami?  Saya mengucapkan terima kasih dalam bahasa inggeris kepada pekerja pembersihan tadi, ternyata dia lebih celik huruf berbanding diri ini.  Itulah kebesaran Allah di bumi barakah ini.  Pertolongan mudah diberi jika kita tahu meminta.

Saya bertanya kepada seorang lelaki pertengahan umur yang saya pasti dari rombongan Darul Mubarak.  Abang Jalil namanya.  "Saya pun tak pasti siapa nama muasasah kita," katanya.  "Tak apa lah, beri kertas awak kepada saya dan kita kepil bersama."  Kami kemudian beratur melepasi kaunter pak arab tanpa senyum itu dengan debar.  Syukur ya Allah, kami berjaya melepasinya...  Tapi bagaimana seterusnya?


Perjalanan Rohani 6


JIKA di negara kita tentulah pegawai imigresen yang bertugas itu, di Jeddah dipanggil apa ya?  Orangnya masih mudah dan awal-awal lagi kami diberitahu supaya beratur mengikut mahram masing-masing.  Saya pergi dahulu, mengulurkan passport.  Dia meneliti sebentar dan kemudian isteri dan Aiman menyerahkan passport masing-masing.  Kepada isteri, dia menghulurkan dengan baik.  Dengan Aiman sempat berbual-bual.  Bertanya umur dan sudah berapa kali datang.  Kepada saya, hah, passport dicampak sahaja.  Jika di Malaysia, sudah ada surat aduan sampai di meja pegawai perhubungan awam.  Pak Arab senang mesra dengan budak-budak sebenarnya.  Pengalaman kami sepanjang di dua tanah suci ini, jika dengan Aiman sentiasa mudah.  Mudah mendapat tempat di Raudah.  Mudah mendapat saf yang baik di hadapan dan juga mudah dalam membeli belah.  Pak arab memang amat menyukai kanak-kanak.  Jika mahu ke sana membawa kanak-kanak, memang dialu-alukan.

Selesai segala urusan imigresen dan mengambil bagasi yang hampir dua jam itu baru lah kami keluar dari perkarangan kompleks haji di Jeddah.  Bas Darul Mubarak sedia menunggu bersama Ustaz Ismi.  Mujurlah, Ustaz Ismi kami sudah kami kenali melalui adiknya.  Jika diikutkan seperti tidak logik dengan hukum akal.  Membayar tambang pakej umrah kepada Haji Othman dan kemudian ditumpangkan pula kepada Ustaz Ismi, Darul Mubarak.  Benarkah antara Haji Othman dan Ustaz Ismi ada hubungan?  Setelah memperkenalkan diri, kami diterima dengan mudah atas semangat sesama Islam.  Tuhanku, hanya Engkau yang mampu membalas budi orang-orang yang membantu dalam perjalanan kami ini.  Syukur.


Bas meninggalkan kota Jeddah, kota komersial yang bercahaya.  Kota kosmopolitan di Semenanjung Arab.  Singgah di sebuah perhentian yang mempunyai masjid, tandas awam dan rangkaian kedai-kedai runcit.  Kami diberikan makanan, nasi dengan kari ayam.  Masakan Melayu dengan beras yang baik.  Alhamdullillah.  Kad sim, perkara yang sangat-sangat penting dan saya menuju ke kedai runcit.  Cakap orang putih, "sim card," sambil menunjukkan telefon bimbit.  Penjual menunjukkan tiga jenis kad sim dari syarikat yang berbeza.  Saya memilih mobili, atas nasihat Ustaz Ismi ketika bertanya di dalam bas sebelum tiba ke mari.  Ternyata harganya jauh lebih murah dari yang ditawarkan pekerja pembersihan di terminal haji Jeddah.  30 riyal.  Mata wang riyal lebih murah dari ringgit.  Sebelum bertolak ke KLIA saya telah menukar wang riyal di Kompleks Yik Fong di Ipoh.  Kami hanya membawa 400 riyal sahaja kerana wang riyal mendapat permintaan yang tinggi dari jemaah umrah.  Telefon nombor Saudi sudah tersedia, dapatlah isteri menefon keluarga di tanahair.  Rindunya terutama kepada si kecil Iman Thuraya mencengkam perasaan.


Perjalanan Rohani 7


PERJALANAN lancar membelah lebuh raya menuju ke penghujung malam.  Setelah solat Isyak qasar dan jamak Maghrib di perhentian tadi, bas meluncur laju di jalanraya.  27 orang jemaah umrah Darul Mubarak dan kami bertiga yang menumpang merenung kehitaman malam.  Tanpa cahaya.  Betapa sunyinya gurun pasir, hanya sesekali cahaya muncul dan kemudian menghilang.  447 km akan dilalui antara Jeddah dan Madinah.  Sungguh sudah puas tidur dalam penerbangan 8 jam.  Menunggu proses imigresen hampir 2 jam di terminal Haji Jeddah dan kini melalui perjalanan panjang 6 jam lagi.  Mata semakin lama semakin layu, kelopak mata akhirnya tidak boleh dibuka.  Hanya enjin bas yang mengaum.

Hanya sekali bas berhenti di sebuah perhentian yang sunyi dan gelap.  Banyak tandas dan bilik mandi untuk melepaskan hajat.  Hawa dingin di dalam bas terlalu dingin, ramai yang merengkot.  Perjalanan di teruskan.  Kami menyambung mimpi.  Menghampiri Bir Ali, Ustaz Ismi mengejutkan jemaah dengan menerangkan ini lah tempat miqat dalam perjalanan kembali ke Mekah nanti.  Seolah-olah bas kami sudah sampai ke penghujung malam, sebuah bandar bercahaya muncul di tengah-tengah padang pasir yang tandus.  Itu lah Madinah, bandar bercahaya.  Madinah al Munawarah.  Cahaya keimanan yang indah di penghujung malam.  Dan kami terlalu syahdu.

Wahai Allah, Tuhanku, negeri ini adalah tanah haram Rasullullah SAW, maka jadikanlah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari siksa dan penghisaban yang buruk di hari kemudian.

Perjalanan ini adalah ibadah, tiada perjalanan selain ketiga-tiga tanah suci dikira sebagai ibadah.  Musafir ini ya Rasullullah ingin mengunjungimu, terlalu merinduimu.  Air mata menitis dan seluruh jemaah teresak perlahan.  Wahai nabi, usiaku sudah melepasi 40, baru kini aku sampai di tanah yang menyimpan jasadmu.  Wahai Rasullullah, hati ini terlalu kerdil kini.  Dalam usia melepasi 40 baru lah aku menziarahimu.  Bagaimana ku katakan selama ini aku sangat-sangat menyintaimu?  Bagaimana selama ini aku mengakui umatmu?  40 tahun, perjalanan yang terlalu jauh untuk ku tiba.  40 tahun bagai satu ruang kosong.  40 tahun - baru kini aku dapat merasai dekatnya diri ini dengan junjungan mulia.

Air mata tidak berhenti mengalir.  Kami berselawat.  Berselawat dan terus berselawat.  Ustaz Ismi mengingatkan mengunjungi Madinah umpama mengunjungi Nabi Muhammad ketika baginda masih hidup.  Setiap selawat yang diucapkan, akan disampaikan malaikat kepada baginda.  Dan selawatlah yang akan mengenalkan baginda kepada umatnya.  Bagaikan mimpi, kami kini berada di bumi yang diberkati.





Perjalanan Rohani 8


BAS akhirnya tiba di Hotel New Al-Shaer Center yang terletak berhampiran Perpustakaan King Abdul Aziz.  Menara Masjid Nabawi kelihatan bercahaya indah.  Jemaah berkumpul di lobi dengan bagasi masing-masing dan Ustaz Ismi bersama kakitangan hotel mengagih-agihkan kunci bilik penginapan.  "Naik, mandi dan bersiap-siap.  15 minit lagi berkumpul di lobi untuk kita ke masjid bersolat Subuh," pesannya.  Kami bertiga duduk di suatu sudut hotel, jemaah lain ada yang mahu naik ke bilik bersalaman dengan kami.  "Kita bertemu lagi," kami berpesanan.  Aku membuka lembaran kertas putih saiz A4 yang diberikan Haji Othman di KLIA pagi semalam.  Rancangannya selepas menumpang bas Darul Mubarak ke Madinah, aku harus menghubungi Ustaz Solahuddin ketika dalam perjalanan.  Kini aku mendail lagi nombor Ustaz Solahuddin lagi dan dia menjawab di hujung talian.  Aku nyatakan nama hotel dan dia berjanji akan sampai dalam 15 minit lagi.  Aku menarik nafas lega, sekurang-kurangnya penginapan kami di Madinah sudah ada.  Tanggungjawab Haji Othman tidak dilepaskan begitu sahaja.  Semua jemaah sudah menghilang ke dalam lif dan Ustaz Ismi yang selesai berurusan dengan kakitangan hotel menghampiri kami.  "Bagaimana?  Siapa yang akan ambil?" tanya Ustaz Ismi bimbang.  Kami menjelaskan, Haji Othman sudah menetapkan Ustaz Solahuddin akan mengambil kami.  Setelah Ustaz Ismi pasti tiada masalah dan meninggalkan nombor telefonnya kepada kami, untuk kami hubungi ketika mahu pulang nanti, dia pun beredar ke bilik.

Azan Subuh berkumandang, pertama kali mendengarnya ternyata lagu azan yang berlainan dengan yang biasa didengar di tanahair.  Jemaah umrah muncul dari hotel-hotel di sekitar dan semuanya berjalan menuju ke arah masjid.  Kami bertiga berdiri di kaki lima hotel, menunggu Ustaz Solahuddin yang masih belum tiba.  Ada kereta menghampiri, pasti menjenguk meneliti.  Dia kah Ustaz Solahuddin?  Bukan...  Orang Arab.  Ada kelompok jemaah umrah Darul Mubarak yang sudah turun ke kaki lima, menunggu Ustaz Ismi.  Kami berbual sebentar, kelihatan asing kerana tidak bersama mereka.  Hati ini, hanya Allah sahaja yang tahu.  Bagai itik yang terpisah dari kumpulan terbangnya.  Setelah kumpulan jemaah dipimpin Ustaz Ismi pergi barulah Ustaz Solahuddin muncul dengan sebuah MPV toyota innova.  Orangnya besar agam, berkulit putih dengan mata yang agak sepet.  Kami bersalaman.  "Saya orang Patani.  Bahasa Melayu saya tidaklah baik sangat tetapi boleh lah," katanya.  Beg-beg kami diletakkan di tempat barang tambahan yang dipateri sambungan di belakang MPV itu.  Buruk sangat rupanya toyota innova dengan kargo tambahan di belakang.  Jika di Malaysia sudah tentu kena saman JPJ.

Ustaz Solahuddin memandu perlahan melalui jalan-jalan mengelilingi Masjid Nabawi.  Jemaah berbagai bangsa berduyun-duyun menuju ke masjid.  Pemandangan yang sangat menakjubkan.  Jika di Malaysia, waktu Subuh yang sunyi, sesunyi itulah masjidnya.  Sedang Subuh di Malaysia sekitar 5.45 pagi.  "Subuh di sini jam 3.30 pagi," jelas Ustaz Solahuddin.  Dia anak orang Patani yang berhijrah ke Madinah.  Ibunya berasal dari Patani sedang dia lahir di Madinah dan sudah menjadi rakyat Saudi.  Kami tiba di Hotel Al-Aous Manazeli yang terletak di timur Masjid Nabawi.  Kedudukan hotel sejajar dengan pintu wanita dan Perkuburan Baqi'.  Imam Masjid Nabawi sudah mula membaca Surah Fatihah.  Nampaknya Subuh ini kami tak berkesempatan berjemaah.  Subuh Hari Jumaat, hari pertama kami di Madinah. 


 
Kami menyerahkan passport untuk disimpan kakitangan hotel dan diberikan kunci bilik.  Ustaz Solahuddin meminta diri dan berjanji akan menghantar sarapan pagi.  Kami naik ke bilik di tingkat 10, tingkat paling atas hotel itu.  Alhamdullillah, syukur kepada Allah.  Bilik yang selesa dengan tingkapnya mengadap ke arah masjid Nabawi bertentangan dengan pintu wanita.  Sekeluarga ditempatkan dalam bilik yang sama.  Semoga dipermudahkan kami beribadat kepada Mu ya Allah.




Sumber : http://mohamadkholid.blogspot.com/2012_04_01_archive.html
Sumber : http://mohamadkholid.blogspot.com/2012/05/perjalanan-rohani-8_01.html