Monday, June 25, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 4-

AlhamduliLlah, akhirnya kami selamat menjejakkan kaki ke bumi Palestin. Palestin ialah bumi para Nabi dan Rasul. Sejumlah besar para Nabi dan Rasul, suatu ketika dahulu dilahirkan dan disemadikan di sini. Di bumi inilah mereka menerima perintah daripada Allah SWT untuk menyampaikan risalah tauhid, mendidik masyarakat untuk kembali kepada Allah Ta'ala. Mengesakan Allah dan tidak menyembah selain dariNya.

Bumi ini dahulunya dikenali dengan nama Syam. Negeri Syam meliputi negara Jordan, Syria, Lubnan dan Palestin. Nabi Muhammad SAW juga pernah beberapa kali menjejakkan kaki ke sini. Jarak antara bumi syam, khususnya Masjid Al-Aqsa dengan bumi Mekah ialah lebih kurang 1300km, jarak yang dilalui oleh Baginda RasuluLlah SAW ketika dalam perjalanan Isra' dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Sebagaimana yang disebut di dalam Kitab Al-Quran,

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat." Al-Isra', 17:1.

Encik Kassim, pemandu pelancong kami memulakan bicaranya dengan ayat di atas, menunjukkan betapa Allah Ta'ala memuliakan tanah ini, sekalipun ianya sedang berada di bawah cengkaman orang-orang yahudi yang dilaknat.

Kami meneruskan perjalanan ke Bandar Ariha, (nama mat sallehnya, Jericho), yang merupakan salah satu kawasan penempatan orang-orang Palestin. Di bumi Negara Haram Israel ini, terdapat penempatan orang-orang Yahudi dan penempatan orang-orang Palestin. "Jericho is one of the Palestinian Settlement which has around 10000 Palestinians lives here," kata Qassim menceritakan bagaimana orang-orang Palestin ditempatkan di bahagian-bahagian tertentu dengan kawalan yang cukup rapi.

Apabila kami menghampiri bandar Ariha tersebut, sebuah sekatan jalan dibuat oleh Askar Israel Mal'oun (mal'oun = yang dilaknat). Setiap sempadan jalan masuk dan keluar ke penempatan orang-orang Palestin pasti akan ada sekatan jalan dan pos kawalan keselamatan dibina, kononnya mengelakkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti penyeludupun dan pengganas. Kami melihat sendiri bagaimana penindasan dan kezaliman dilakukan oleh orang-orang yahudi, berterusan sejak wilayah ini diserahkan kepada orang-orangYahudi Mal'oun pada Perjanjian Balfour 1948 dahulu.

Saya teringat perkongsian yang saya berikan kepada para jemaah ketika di dalam bas, "Tuan-tuan dna puan-puan, sepertimana yang kita tahu, Palestin ini sebenarnya bumi umat Islam, dirampas dengan penuh licik dan kejam oleh penjajah barat dalam perjanjian Balfour 1948. Kononnya, kerana kasihankan orang-orang Yahudi yang dibunuh oleh Nazi dan pelbagai dakwaan yang karut-marut, semua orang yahudi dipindahkan ke palestin dan negara Palestin ini diberikan secara percuma oleh PBB kepada orang-orang Yahudi. Sudahlah mereka ditempatkan secara haram, negara haram ini diisyhtiharkan secara haram, ratusan ribu nyawa umat Islam dibunuh oleh orang-orang Yahudi yang pada asalnya merempat di sini."

"Kalau tuan-tuan dan puan-puan pernah dengar pasal bumi Gaza. Gaza merupakan penjara manusia terbesar dan paling zalim di dunia. Yahudi membina tembok besar untuk mengelakkan orang-orang Gaza ini keluar dari Gaza untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan. Tahun lepas, mereka lancarkan perang ke atas kota Gaza ini. Mereka lepaskan bom fosforus. Tuan-tuan tahu tak, bom ni tak meletup tetapi sesiapa sahaja yang terkena bom fosforus ini, api dan kepanasan fosforus ini tidak boleh dipadamkan dengan air atau pasir, Dia akan terus membakar sehinggalah mangsa tersebut mati. Satu-satunya jalan selamat ialah memotong anggota atau mana-mana bahagian yang terkena fosforus ini tadi," ujar saya lagi.

Memang, fosforus ini ialah senjata yang paling kejam yang tujuannya bukan hanya membunuh malah menyeksa mangsa sehingga mati. Semoga Allah Ta'ala memberikan balasan yang setimpal ke atas orang-orang Yahudi yang zalim dan dilaknat ini.

"InsyaAllah, we are going to have lunch here, after that we are going to hevron, and we will perform the solah, jama' ta'khir in Ibrahim KhaliluLlah Mosque," terang Mr Qassim ketika sampainya kami di sebuah restoran di bumi Ariha ini.

Selain kami, ratusan pengunjung bukan Islam juga berada di sana untuk melancong dan mengerjakan "umrah dan ziarah" menurut kepercayaan agama mereka.

"Palestine is the origin of 3 religion, which are Islam, Christian, as well as Jews. Christians believes that this holy land belongs to them, Jews also claims that this is their holy land. At the same time, we as Muslims also believe that this land is our land, and we know that, those Christians and Jews were also "Islam" but they diverted wrongly from the truth,"

Sesampai di dewan makan restoran tersebut, kami menikmati jamuan buffet. Antara yang menarik, ayam panggang, kebab daging, pelbagai jenis salad sayuran dan buah-buahan, spaghetti, nasi arab dan macam-macam lagi. Selesai sahaja kami menikmati jamuan tengahhari, datang sebuah rombongan orang kulit hitam. Pakaian mereka penuh dengan simbol dan slogan orang-orang Kristian. Dari Name Tag yang mereka pakai, saya dapat pastikan bahawa mereka merupakan pelancong yang datang dari negara Afrika dan penganut agama kristian.

Di sini, terdapat perkhidmatan kereta kabel yang membawa pengunjung ke sebuah puncak bukit. Dikatakan di puncak bukit inilah tempat di mana Jesus (Nabi Isa) menerima ujian dan dugaan daripada syaitan. Sejauh mana kebenaran peristiwa tersebut, sehingga sekarang belum dapat saya pastikan. Saya sendiri tidak pasti, sejarah itu datang dari sumber yang benar ataupun direka oleh orang kristian yang menganggap Nabi Isa AS sebagai tuhan.

Saturday, June 23, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 3-

Selain kami, terdapat dua rombongan yang lain turut bersesak menunggu giliran untuk proses kemasukan ke Negara Haram Israel, iaitu rombongan dari Negara Turki dan juga rombongan warganegara Palestin yang baru sahaja pulang dari melaksanakan Umrah.

Saya melihat sendiri karenah birokrasi yang terpaksa dihadapi sekalipun mereka merupakan warganegara Palestin, mereka tetap perlu menjalani pemeriksaan yang sangat ketat, bahkan lebih ketat daripada warga asing  yang ingin datang melawat. Perkara yang paling dibimbangi oleh pegawai Yahudi di situ ialah, mereka ingin pastikan tiada senjata atau bahan letupan yang diseludup masuk ke Negara Haram Israel. Mereka bimbang senjata yang diseludup itu akan digunakan untuk menentang mereka. Memang benar, orang-orang yahudi ini semuanya takut pada bayang-bayang sendiri.

Jemaah yang telah ditahan passportnya tadi semakin resah kerana walaupun silih berganti rombongan yang keluar masuk pos imigresen tersebut, passportnya masih belum berganjak dan masih ditahan di pos pegawai tersebut. Passportnya diletakkan di suatu sudut seolah tidak dihiraukan sama sekali. Saya sendiri berulang-kali ke kaunter tersebut bertanyakan mengenai status passport jemaah saya tersebut, namun jawapn yang diberikan oleh pegawai tersebut sama sekali tidak menyenangkan hati saya dan jemaah.

Setelah menunggu hampir setengah jam, barulah passport tersebut dikumpulkan dan di bawa oleh seorang pegawai wanita yang lain. Dia kemudian membawa passport tersebut ke sebuah kaunter pemeriksaan keselamatan. Di situ dia meminta pemilik setiap passport yang ditahan untuk membawa barang masing-masing untuk diperiksa. Menurut label pada mesen pengimbas, mesin tersebut digunakan untuk mengimbas dan mengesan bahan-bahan letupan dan senjata api. 

Rupa-rupanya, mereka melakukan pemeriksaan berperingkat secara rawak bagi setiap pengunjung yang ingin masuk ke Negara Haram Israel. Kononnya, bimbang jika ada pengunjung yang membawa senjata api ataupun bahan letupan. Saya hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Akhirnya, setelah diapastikan bagasi tersebut selamat dan bebas daripada barang terlarang, dia pun melepaskan kami dan akhirnya kami semua bergerak menaiki bas meninggalkan pos imigresen. Sejurus selepas meninggalkan pos imigresen tersebut, kami dibawa menuju ke Ariha (Jericho) bandar tertua di dunia, dan juga merupakan bandar yang paling rendah di dunia. 

Thursday, June 21, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 2-

Bahagian 2

Tidak berapa lama kemudian, kami diarahkan turun dari bas dan membawa segala barangan dan beg untuk daftar masuk ke Negara Haram Israel dan mengimbas segala barang yang di bawa bersama kami. Walaupun prosedur imbasan bagasi ini sudah acapkali kami tempuhi (adat melancong!) tetapi suasana di Pos Kawalan Sempadan Negara Haram Israel ini benar-benar menguji kesabaran kami.

Kami diperintah untuk bergerak mengusung bagasi ke sana ke mari, dan beratur untuk masa yang agak lama. Memang tidak dinafikan factor utama ialah kerana terdapat begitu ramai orang yang kebetulan sedang melakukan urusan keluar masuk di sana, namun berdepan dengan orang-orang yahudi menyebabkan kami dengan mudah menuding jari menyalahkan pegawai-pegawai yahudi di situ.

Sedang menunggu giliran untuk diperiksa, saya meninjau keadaan Tn Hj Harun yang ditahan dan disoalsiasat oleh pegawai yahudi di situ. Tiba-tiba seorang pegawai yahudi memanggil jemaah kami, dan bertanyakan di manakah ketua kumpulan? Masing-masing lekas-lekas memanggil saya ke hadapan. Saya menghampiri pegawai yahudi tersebut lalu dia membawa saya berjumpa dengan pegawai yahudi yang menahan Hj Harun sebentar tadi.

“You speak english?” soal pegawai tersebut.

“Yes, sure. What’s the matter?” jawab saya sambil tersenyum menyembunyikan perasaan geram dan risau.

“Owh great, (sambil mengeluh lega), ask this man to delete the picture that he took from inside the bus,” arah pegawai tersebut.

Saya lantas mengambil kamera yang ada pada pegawai yahudi tersebut dan memeriksa simpanan gambar yang terdapat pada kamera tersebut. Didapati tiada gambar seperti yang didakwa oleh pegawai yahudi tersebut.

“Pakcik dah delete ke gambar yang pakcik ambil tadi? Dia ni mintak pakcik delete gambar yang pakcik ambil tadi,” ujar saya menerangkan keadaan kepada pakcik.

“Ooo, tadi dia dah amik kamera ni, tapi tak tahu dia dah delete ke tak. Pakcik cari tak jumpa pun gambar tu,” jawab Hj Harun pula.

“See, (sambil menunjukkan kamera tersebut pada pegawai itu) there is no such picture, maybe someone has already delete it,” ujar saya kepada pegawai yahudi itu lagi.

“No, ask this man to delete it,” perintah pegawai itu lagi. Mungkin tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.

“Dia tak puas hati lagi pakcik, saya dah bagitau dia yang gambar tu dah kena delete. Tapi dia nak jugak pakcik delete gambar. Takpe pakcik, pakcik delete je mana-mana gambar,” ujar saya pula kepada Hj Harun.

Sambil menunjukkan kepada pegawai tersebut saya menunjukkan kepada Hj Harun bagaimana untuk mendelete gambar, dan satu demi satu gambar dipadam sehinggalah pegawai tersebut berpuas hati.

“Why does he take the picture? Do you bring any weapon?” soal pegawai yahudi itu pula. Terkejut saya dengan soalan tersebut. Lalu saya menjelaskan kami dating untuk melawat, sudah tentu kami tidak membawa sebarang senjata dan pastinya gambar tadi untuk tujuan kenang-kenangan.

“Tell your group, no weapon, no picture and no provocation here, ok?” jelas pegawai yahudi itu lagi. Saya Cuma mengiyakan dan mengangguk sambil membawa Hj Harun kembali ke tempat mendaftar masuk.

Selepas selesai membuat imbasan bagasi, kami beratur untuk diperiksa dokumen perjalanan kami. Masing-masing beratur dan menyerahkan passport masing-masing di kaunter untuk diperiksa. Tiba-tiba satu lagi masalah timbul, passport salah seorang jemaah kami di tahan di kaunter tersebut. Alasan yang diberikan ialah untuk pemeriksaan keselamatan. Jemaah tersebut mula menampakkan wajah risaunya, orang lain juga agak cemas dan kami terpaksa menunggu lagi.


Bersambung....


SDRA MOHD FARID BIN HAMLUDPengurus Umrah dan Operasi
Darul Mubarak Travel & Tours Sdn Bhd

Tuesday, June 19, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 1-



Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Al-Isra', 17:1.

Meremang seluruh badan tatkala pemandu pelancong, Mr Qassim, membacakan ayat di atas sebagai permulaan bicaranya memberikan penerangan mengenai kunjungan kami ke bumi Palestin, yang kini dikuasai oleh Rejim Yahudi laknatuLlah. AlhamduliLlah, pada 21 Mac 2012 lalu, saya diberikan peluang untuk mengetuai rombongan peserta Umrah Baitul Maqdis seramai 32 orang (termasuk saya), menziarahi Jordan dan Baitul Maqdis, seterusnya membawa rombongan tersebut bagi menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Mekah Dan Madinah.

Perjalanan kami bermula pada hari Rabu, 21 Mac 2012, menaiki pesawat Royal Jordan, berlepas pada jam 10.00 malam dan tibadi Queen Alia International Airport, Amman, Jordan pada jam 5.15 pagi. Setibanya kami di Amman, kami disambut oleh wakil Malhas Tours (Agensi pelancongan di Jordan), kami dikejutkan dengan berita bahawa pihak Israel menolak permohonan visa 3 orang peserta dari kumpulan kami. Oleh kerana mereka datang berempat, maka keempat-empat mereka terpaksa tinggal di Amman (mereka diberikan hotel di Arena Space Hotel, Amman, Jordan), sementara rombongan seramai 28 orang akan meneruskan perjalanan ke Baitul Maqdis.

Sekitar pukul 6.00 pagi, kami semua menaiki bas ke Hotel setelah selesai menunaikan solat subuh dalam waktu yang tersisa. Sesampai di hotel, kami menurunkan sebahagian beg untuk disimpan di hotel tersebut, dan sebahagian lagi di bawa ke Palestin. Selesai kami menikmati sarapan pagi (ala arab), kami pun meneruskan perjalanan ke Palestin, menuju ke Jambatan Raja Hussein (King Hussein Bridge) iaitu sempadan antara Jordan dan Negara Haram Israel.( Orang Yahudi Laknatullah menamakannya “Allenby”).

Kedudukan Amman terletak kira-kira 3000 kaki di atas paras laut, sebab itu cuaca di sana agak sejuk dan telinga kami berdengung kerana kami bergerak menuruni bukit sehingga ke bawah paras laut. Dalam perjalanan, sebelum sampai ke Palestin, kami singgah di sebuah tempat yang terdapat batu tanda menunjukkan aras paras laut, rupa-rupanya sebahagian bumi Palestin, termasuk laut mati terletak di bawah paras laut.

Laut mati, menurut papan tanda yang terdapat di situ, berada kira-kira 1000 kaki di bawah paras laut.
Pemandangan Di Jordan, dalam perjalanan menuju ke Sempadan Paelstin. Dapat diperhatikan keadaan dan perjalanan menuruni bukit
Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan kira-kira setengah jam sebelum sampai di Sempadan Imigresen Jordan. Pemandu pelancong kami di Jordan terpaksa turun pusat imigresen tersebut kerana hanya pelancong sahaja yang dibenarkan berada di sempadan. Segala urusan daftar masuk ke Palestin diserahkan kepada saya.

Tempat singgah yang menandakan paras aras laut. Batu Asas menunjukkan aras paras laut dan papan tanda yang menunjukkan kedudukan laut mati yang berada 1000 kaki di bawah paras laut.
Kebanyakan jemaah mula menampakkan kerisauan kerana begitu banyak pesanan yang diberikan oleh Mr Aqeef sebelum melepaskan kami ke Palestin. Menurut Mr Aqeef, sesampai di sempadan perkara yang perlu kami masing-masing hafal ialah nama agensi yang bakal menguruskan kami di Palestin dan kami dinasihatkan untuk menurut apa sahaja kehendak pegawai-pegawai yang menjaga sempadan tersebut, termasuk menjawab sahaja segala persoalan yang ditanyakan kepada kami, dan memberikan kerjasama yang baik sepenuhnya ketika berada di pintu sempadan tersebut.

Menurutnya, kebanyakan pegawai yang menjaga sempadan tersebut adalah orang yahudi, maka adalah lebih baik kita menurut sahaja apa yang diminta oleh orang-orang yahudi tersebut untuk mengelakkan sebarang masalah.

Bertemankan pemandu Bas, kami menuju ke sempadan Palestin. Disepanjang perjalanan ke sempadan tersebut, kami bertukar-tukar cerita mengenai kejahatan dan kezaliman orang-orang yahudi dan bagaimana kejamnya mereka memperlakukan orang-orang Palestin.

Seketika terimbau peristiwa perjanjian Balfour 1948, persitiwa Shabra dan Shatila, juga kekejaman dan nasib yang menimpa umat Islam di Baitul Maqdis dan juga di Gaza. Perasaan geram bercampur sedih menyelubungi kami semua tatkala menyeberangi Jambatan Malik Hussein (Orang Yahudi menamakannya Allenby). Namun, saya mengingatkan para jemaah supaya menyimpan segala perasaan dan menurut apa sahaja prosedur yang ditetapkan oleh pegawai imigresen yang menjaga sempadan masuk ke Palestin.

“Kita sebenarnya tak iktiraf pun Negara Israel ni, bagi kita Negara Israel ni Negara Haram dan tak wujud pun dalam peta dunia. Tapi, atas kelemahan kita (orang-orang Islam) sendiri, bumi ini dijajah dan dikuasai oleh orang-orang yahudi, maka kita terpaksa menurut arahan mereka,” pesan saya kepada jemaah.

Sesampainya kami di pintu masuk sempadan Negara Haram Israel (Pelestin) kami terpaksa menunggu agak lama sebelum bas tersebut dibenarkan untuk masuk ke Pusat Imigresen tersebut. Menurut pemandu bas, kami terpaksa menunggu giliran yang ditentukan oleh orang yahudi. Kerana, orang yahudi tidak mahu begitu banyak bas berada di kawasan sempadan tersebut.Mereka hanya membenarkan 2 buah bas berada di kawasan tersebut pada satu-satu masa.

Pintu Masuk ke Kawasan Pemeriksaan Sempadan Masuk ke Negara Haram Israel. (tertera tulisan hebrew, bahasa Israel) Hampir sejam kami menunggu di sini sebelum dibenarkan masuk.
Setelah hampir setengah jam menunggu barulah bas kami dibenarkan masuk. Sesampai di kawasan sempadan tersebut, kami tidak dibenarkan turun dan terpaksa menunggu lagi sebelum dibenarkan turun. Kelihatan orang-orang yahudi, semuanya mengenakan baju kalis peluru menjaga kawasan tersebut.

Kami terpaksa menunggu di dalam bas kerana ada sebuah rombongan dari Turki sedang melakukan pemeriksaan bagasi dan sedang mendaftar masuk ke Negara Haram Israel. Semua bagasi diperiksa dengan cukup teliti. Malah, botol air zam-zam juga dibuka satu persatu bagi memastikan tiada bahan selain dari air zam-zam di dalam botol tersebut. Setiap mesin pengimbas di sana dilengkapi dengan teknologi mengesan bahan letupan dan senjata api keran dikhuatiri pelancong yang masuk ke Negara Haram Israel ini membawa bekalan senjata untuk orang-orang Palestin yang tertindas di sana.

Seketika memerhatikan keadaan di sempada tersebut, tiba-tiba seorang pegawai yahudi menghampiri bas kami dan meminta pemandu bas membukakan pintu. Setelah pintu bas dibuka dia meminta salah seorang jemaah yang duduk di belakang untuk turun.

“Ada seorang penumpang kamu yang menangkap gambar, minta dia turun sekarang!” perintah pegawai yahudi tersebut.

Kerana saya menurut arahan pegawai yahudi tersebut, saya pun meminta jemaah yang berkenaan, Hj Harun untuk turun dari bas. Kami masih tidak dibenarkan turun, dan saya hanya mampu memerhatikan Hj Harun disoal siasat oleh pegawai Yahudi tersebut. Keadaan agak cemas ketika itu, dan saya hanya mampu berdoa semoga tiada masalah yang berat yang menimpa kami ketika itu.

Bersambung...




Sdra Mohd Farid Bin Hamlud
Pengurus Umrah dan Operasi
Darul Mubarak Travel & Tours Sdn Bhd

Thursday, June 14, 2012